Bercakap mengenai UASA, tahniah diucapkan kepada
murid-murid tahap 2 di seluruh negara yang baru sahaja selesai menduduki Ujian
Akhir Sesi Akademik (UASA). Kepada yang mendapat markah cemerlang, tahniah diucapkan.
Inilah hasilnya atas segala pengorbanan adik-adik selama ini. Tahniah juga buat
adik-adik yang keputusannya biasa-biasa sahaja atau mungkin tidak memuaskan
buat kali ini. Yang penting, jadikan sebagai pengajaran untuk terus meneroka
alam persekolahan anda.
Saya dihubungi
oleh beberapa orang ibu bapa yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak. Ada
yang bertanyakan tentang pemarkahan yang diberi oleh guru. Patutkah dapat
markah begini? Mengapa markahnya ditolak? Saya bukanlah seorang guru cemerlang.
Sekadar berkongsi apa yang dimiliki.
Di
sini, dari sudut pandangan sendiri, masih tertanya-ternya, mengapa UASA ini
diadakan? Sedangkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sentiasa diperkasakan.
Adakah PBD mula diragui? Sebagai seorang yang berkhidmat di SJK, perkara ini makin
menimbulkan persolan apabila keputusan UASA yang akhirnya diambil kira untuk
menentukan murid yang akan ke kelas peralihan di sekolah menengah. Apa tujuan
PBD dilaksanakan sepanjang tahun? Akhirnya UASA yang dijalankan dalam masa 75
minit yang menjadi penentuan.
Perkara
seterusnya ialah mengenai penandaan dan pemarkahan guru. Guru tidak diberi
pendedahan mengenai pemandaan serta pemarkahan khusus sebelum UASA dilaksanakan.
Yang dihebahkan hanya mengenai format serta contoh soalan. Rata-rata guru perlu
belajar serta mencari sendiri ilmu penandaan serta pemarkahan ini. Jadi, tidak
hairanlah timbulnya isu jawapan murid yang mungkin ada guru memberi markah
tinggi, ada guru yang memberi markah rendah serta ada guru yang menolak jawapan
yang diberikan oleh murid.
Kesimpulannya,
sebagai seorang guru, saya akan terus menyokong segala usaha Kementerian
Pendidikan Malaysia dalam memartabatkan pendidikan di negara kita. Saya yakin,
KPM akan sentiasa melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan kemenjadian
murid menjadi realiti.